NARATHIWAT, THAILAND: Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini hari ini melepas dan membebaskan penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada November tahun lalu.
Selain Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35 dan empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdieka Mohd. Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, yang berdepan tuduhan sama turut dibebaskan.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, semua tertuduh dikenakan dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Kesemua tuduh tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Keputusan itu dibuat oleh panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada bulan lalu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan suaminya serta empat lagi rakan mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Bagaimanapun mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini.
Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini. – UTUSAN