KUALA LUMPUR: Tiga penyampai program 3 pagi Era bersama tiga lagi kakitangan Era FM selesai diambil keterangan di Bukit Aman berhubung isu mempersendakan agama Hindu baru-baru ini.
Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir masing-masing dirakam keterangan lebih dua jam di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Proses berkenaan selesai kira pukul 1.10 tengahari tadi.
Pihak media gagal mendapatkan kenyataan ketiga-tiga penyampai radio itu yang segera beredar menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap kakitangan Era FM berkaitan video tular mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial, semalam.
Ia selepas laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.
Razarudin dilaporkan berkata, pengadu mendakwa beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan ‘Vel,Vel’ manakala seorang lelaki sedang menari.
Semalam tular video mendakwa Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.- UTUSAN
-Habis –