IPOH: Suasana di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, gempar hari ini apabila kumpulan bersenjata menjadikan seorang pensyarah dan beberapa pelajar sebagai tebusan.
Keadaan bertambah panik dengan jeritan dan beberapa das tembakan dilepaskan oleh penjenayah.
Bagaimanapun, kejadian sekitar pukul 9 pagi itu hanyalah lakonan dalam Latihan Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, latihan itu bermula dengan laporan pengawal keselamatan PUO sebagai sebahagian daripada senario Ex-Kurung.
Katanya, ia bertujuan menguji kesiapsiagaan agensi terlibat termasuk polis, PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam menangani krisis keganasan.
“Kehadiran petugas keselamatan, kenderaan rasmi, serta helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) di sekitar politeknik adalah sebahagian daripada latihan ini.
“Latihan ini diadakan secara berkala untuk mengukur keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan tidak panik atau menyebarkan spekulasi tidak tepat berkaitan latihan berkenaan. –UTUSAN