SEREMBAN: Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Nicole Tan Lee Koon mengumumkan penarikan diri beliau dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung esok.
Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan berkata, keputusan itu dibuat bagi menyahut seruan Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu.
“Dengan rendah diri saya mengumumkan penarikan diri sebagai calon pemilihan parti DAP yang bakal diadakan pada 16 Mac 2025.
“Saya menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang mencalonkan nama saya.
“Saya menyambut baik seruan Setiausaha Agong DAP untuk meletakkan kepentingan parti dahulu dan menunjukkan sokongan kepada kepimpinan Setiausaha Agung dan hala tuju masa depan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilaporkan seramai 70 pemimpin pelbagai latar belakang akan bersaing merebut 30 tempat dalam CEC parti itu dengan proses pemilihannya berlangsung esok. – UTUSAN