KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan pekeliling bagi membolehkan penolong pegawai perubatan (PPP) memberikan preskripsi ubat asas untuk penyakit ringan, khususnya di kawasan yang menghadapi kekurangan doktor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan ini tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Racun 1952 kerana ia boleh dilaksanakan di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan.
Kata beliau, langkah itu bertujuan mengiktiraf peranan PPP serta meningkatkan akses rawatan kepada masyarakat luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.
“Saya melihat perkara ini amat penting kerana PPP yang bertugas di kawasan luar bandar perlu diberikan keupayaan untuk merawat pesakit walaupun tiada doktor di lokasi berkenaan.
“Sebagai contoh, PPP dibenarkan memberikan ubat-ubatan dalam kategori C dan C+ termasuk paracetamol, piriton, lomotil serta ubat antibiotik biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan 2025 di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia, Zulhelmi Abdullah.
Sementara itu, Dr. Muhammad Radzi turut mengesahkan bahawa pekeliling tersebut akan dikeluarkan secara dalaman, namun KKM masih belum menetapkan tarikh pelaksanaannya.
“Ya, pekeliling itu akan dikeluarkan dan membabitkan semua PPP, tetapi pelaksanaannya masih dalam perbincangan. Sebarang perkembangan terkini, kami akan maklumkan,” katanya. – UTUSAN