GEORGE TOWN : Seorang penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah motosikal Yamaha Lagenda 115ZR yang ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, salah seorang anggota polis telah memperkenalkan diri dan mengarahkan suspek yang dipercayai lelaki warga asing berhenti untuk pemeriksaan namun lelaki itu enggan mematuhi arahan sebaliknya terus memecut laju.
“Polis kemudian segera mengejar dan cuba memintas motosikal terbabit sebelum suspek secara tiba-tiba bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan polis membalas tembakan sehingga suspek rebah. Pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki tersebut sudah tidak bergerak dan pihak polis seterusnya menjumpai sepucuk pistol jenis Glock serta sejumlah dadah dipercayai heroin bersamanya,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, kes tersebut kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, siasatan setakat ini juga mendapati, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu bagaimanapun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. – UTUSAN