Penjawat awam perlu lafaz ikrar Rukun Negara sekali seminggu - KSN

Penjawat awam perlu lafaz ikrar Rukun Negara sekali seminggu – KSN

AMINUDDIN Harun (tengah) dan Shamsul Azri (dua dari kanan) menunjukkan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam yang dilancarkan pada  Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua penjawat awam perlu melafazkan ikrar Rukun Negara sekurang-kurangnya sekali seminggu di semua premis kerajaan dan secara kerap dalam majlis-majlis rasmi bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Perkara itu merupakan antara kandungan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam.

Pekeliling oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 17 Mac 2025 yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah dilancarkan pada Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Selain itu, kandungannya menyatakan Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan secara berterusan tidak terhad hanya pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta lagu Negaraku dinyanyikan sekali seminggu pada majlis rasmi kerajaan bagi memupuk rasa bangga kepada negara.

Pekeliling itu turut menetapkan penjawat awam perlu dilatih untuk lebih memahami prinsip Rukun Negara bagi memastikan mereka menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan perlembagaan.

Bagi memartabatkan Bahasa Melayu, semua urusan rasmi dalam dan luar negara hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam keadaan tertentu atas keperluan perundangan dan sebarang urusan yang boleh menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan.

Dalam pada itu, Shamsul Azri dalam ucapannya mengingatkan semua penjawat awam supaya mengamalkan semangat patriotisme dan nilai integriti bagi memastikan sistem pentadbiran negara telus dan kedaulatan negara terus terjamin.

“Penjawat awam yang berintegriti akan sentiasa bertindak dengan jujur, telus, dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil. 

“Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah dan akan sentiasa memastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Jelas Shamsul Azri lagi, penghayatan nilai integriti akan menghindari gejala-gejala yang merosakkan sistem pentadbiran negara dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan terus terpelihara.

“Nilai taat setia perlu terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif, termasuk latihan dan pembangunan diri bagi mempertingkatkan kemahiran dan profesionalisme.

“Jika taat setia ini digabungkan dengan integriti, keterbukaan, dan kecekapan, maka perkhidmatan awam negara akan menjadi lebih efektif, efisien, dan relevan dalam memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Tambah beliau,  penghayatan nilai taat setia bukan sahaja mencerminkan komitmen kepada kerajaan, tetapi juga mencerminkan semangat kerjasama untuk mencipta sebuah negara yang lebih makmur, harmoni, dan sejahtera.

“Untuk itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam agar terus memperkukuh semangat taat setia terhadap negara dan kerajaan, serta mengamalkan prinsip-prinsip dan nilai teras Madani dalam setiap tindakan yang diambil,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya