LANGKAWI: Seorang penjawat awam tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada kekasihnya.
Tertuduh, Laskar Kanan Maritim Raziemean Razali, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Allan Suman Pillai.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Tanjung Mali, Pantai Chenang pada pukul 3.13 petang, 10 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqlima Azizi dan tertuduh diwakili peguam, V. Rajadevan.
Tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan syarat tambahan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mei depan.
Pada 17 Januari lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita kerugian lebih RM300,000 apabila mendakwa ditipu teman lelaki yang berjanji untuk mengahwininya.
Lebih malang wanita berusia 39 tahun yang merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ itu turut menjadi mangsa ‘dibelasah’ lelaki terbabit selepas empat tahun menjalin hubungan termasuk pernah diugut dicedera menggunakan pisau. – UTUSAN