KOTA KINABALU: Penjawat awam di Sabah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM1,000 seorang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi berkata, setiap penjawat awam akan menerima RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi sempena Pesta Kaamatan, disalurkan menjelang kedua sambutan tersebut.
Perkara ini telah dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah pada hari Rabu, menurut Masidi.
“Kerajaan negeri menghargai sumbangan penjawat awam. Bantuan khas ini diharap dapat memberi semangat untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada rakyat.
“Pembayaran pertama dijangka sebelum hari raya,” katanya dalam satu kenyataan.