PETALING JAYA: Peniaga kuih apam talam yang menjual kelapa parut tambahan dengan caj RM2 di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), didapati tidak lagi berniaga selepas video jualannya tular dan menerima kecaman netizen.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur yang melakukan pemeriksaan di lokasi semalam.
Menurut KPDN, hasil pemantauan mendapati peniaga terbabit tidak beroperasi pada hari tersebut dan pemeriksaan lanjut akan terus dijalankan sepanjang tempoh operasi bazar Ramadan tahun ini.
“Anggota penguat kuasa akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengesan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, video memaparkan jualan kuih apam talam dengan caj tambahan RM2 untuk kelapa parut tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman terhadap peniaga terbabit.
Selain itu, KPDN turut mengesahkan dua lagi kes yang mencetuskan kontroversi di media sosial membabitkan air limau berharga RM10 dan bihun sup RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
“Pemeriksaan mendapati peniaga terbabit yang beroperasi secara haram telah menghentikan jualan mereka selepas video tersebut tular,” katanya.
Menurutnya, Op Pantau 2025 yang dilaksanakan sejak 2 Mac lalu dengan kekuatan 99 anggota penguatkuasa dan 40 lokasi bazar Ramadan di sekitar ibu kota terus diperhebat bagi memastikan kepatuhan peniaga terhadap peraturan yang ditetapkan.
Jelas KPDN, pengguna dinasihatkan untuk merancang perbelanjaan dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan harga atau penipuan melalui portal e-aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my atau menghubungi talian 1-800-886-800. – UTUSAN