SEREMBAN: Peniaga santan kelapa diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mencampurkan jualan mereka itu dengan bahan lain semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan di musim perayaan Aidilfitri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, di musim perayaan ini keperluan dan permintaan santan sememangnya tinggi.
“Sudahlah mereka (peniaga) tidak boleh menaikkan harga santan memandangkan bekalan itu sudah dimasukkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) namun ingin mendapat untung yang lebih, mereka memasukkan bahan lain pula seperti air.
“Buat masa ini kita tiada mekanisme dalam mengukur berapa banyak air dicampur pada santan terbabit berbanding pengukuran beras import dan beras tempatan.
“Jadi dalam isu santan campur ini, jika memang betul perkara itu berlaku, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan siasatan akan dibuat,”katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Sempena Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025 di Nilai di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan.
Fuziah turut berkata, memandangkan harga santan runcit satu kilogram (kg) sudah di bawah harga kawalan iaitu RM17.50, jadi tiada sebab lemang dijual pada harga tinggi di musim perayaan ini.
“Sekiranya peniaga menyatakan alasan harga lemang yang dijual mahal disebabkan harga santan meningkat, mereka (peniaga) didapati telah melakukan kesalahan berkaitan pencatutan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723.
” Walaupun harga lemang berbeza-beza mengikut saiz dan lokasi namun peniaga sewajarnya menjual pada harga berpatutan. Di sinilah peranan pengguna yang harus bijak membuat keputusan dalam membuat sebarang pembelian dan yang penting peniaga perlu meletakkan tanda harga,”katanya.
Sementara itu, beliau berharap semua peniaga dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan sempena SHMMP Hari Raya Puasa 2025 berkuatkuasa mulai hari ini hingga 7 April depan.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – UTUSAN