KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki 798.6 kilogram (kg) karkas lembu dan kerbau yang disembelih di rumah penyembelihan yang tidak dilesenkan pada 16 Disember tahun lalu.
Majistret Yuhanis Mohd. Roslan menjatuhkan hukuman itu selepas Abdullah Ismail, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan peniaga itu menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun dia membayar denda berkenaan.
Dia didakwa memiliki karkas lembu dan kerbau yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilulus atau dilesenkan dengan melanggar peruntukan di bawah Keadah 5(3), Keadah-Keadah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 dan boleh dihukum di bawah Keadah17, Keadah-Keadah Penyembelihan (Pindaan) 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.
Abdullah dituduh melakukan kesalahan itu ketika ditahan di pekarangan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UnISZA) pada pukul 8.30 pagi, 16 Disember lalu. Hasil pemeriksaan mendapati karkas lembu dan kerbau itu dikesan berada di belakang sebuah lori jenis Isuzu milik Abdullah.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah memohon hukuman denda minimum sebagai pengajaran kepada peniaga tersebut dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Abdullah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum setelah mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila karkas lembu dan kerbau itu dirampas. – UTUSAN