Peniaga dakwa susun atur bazar Aidilfitri punca jualan merosot

Peniaga dakwa susun atur bazar Aidilfitri punca jualan merosot

SUASANA lengang selepas perubahan susun atur tapak perniagaan bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semasa tinjauan Utusan Malaysia kira-kira pukul 4.30 petang, semalam. – UTUSAN/NUR EZZATUL HUSNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perubahan susun atur tapak perniagaan bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang tidak sesuai menyebabkan pendapatan peniaga ber­kurangan.

Peniaga mendakwa, berbeza susunan khemah pada tahun sebelumnya yang disusun secara berhadapan, kali ini tapak perniagaan tersebut diletakkan di bahagian tengah laluan secara ‘back to back’.

Perkara itu menyebabkan se­gelintir peniaga kurang ber­puas hati dengan tindakan pihak pengurusan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Amirul Hadi, 44, penjual baju Melayu kanak-kanak, hasil pendapatannya se­takat minggu kedua puasa kurang sebanyak 40 peratus berbanding tahun lepas.

Beliau mendakwa, kebanyakan pengunjung masuk melalui pintu utama (dari arah Sogo) dan tidak menyedari kewujudan gerai-gerai jualan di bahagian belakang laluan kerana menyangka penjual hanya berniaga di bahagian depan.

“Keadaan ini menyebabkan kurang sambutan untuk penjual seperti kami yang meniaga di bahagian belakang.

“Orang ramai yang lalu di kawasan kedai kami hanya satu arah sahaja, berbeza dengan mereka yang menjual di bahagian depan, pengunjung datang dari dua arah berlainan (arah Sogo dan pusat beli-belah Hanifah),” katanya.

Tambahnya, pihak DBKL perlu membuat penambahbaikan seperti membuat papan tanda arah, bagi menggalakkan ramai pengunjung datang ke kedai terutama di bahagian belakang.

Nabil Luqman Faris, 28, penjual minyak wangi pula berkata, tahun ini adalah tahun ketiga beliau menjual di Jalan TAR.

“Masuk minggu ketiga puasa barulah nampak hasil jualan, berbeza dengan tahun lepas sambutan perniagaan membe­rangsangkan bermula minggu kedua lagi,” katanya.

Beliau turut mengakui, jualan secara dalam talian turut memberi kesan kepada peniaga di bazar Aidilfitri, selain faktor cuaca tidak menentu sekarang.

Bagi peniaga baju kurung, Linda, 28, yang gerainya terletak di bahagian hadapan laluan, perniagaannya setakat ini memberangsangkan dan tiada masalah berbangkit.

“Setakat ini bahagian kita okey tiada apa-apa masalah. Jualan setakat minggu kedua berpuasa baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN