KANGAR: Peniaga makanan tidak wajar mengambil kesempatan ‘mengangkut’ beras putih tempatan (BPT) bersubsidi dengan pembelian berulang kali tanpa mempedulikan nasib golongan yang benar-benar layak untuk mendapatkan bekalan beras tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di salah sebuah pasar raya di sini mendapati, beras tempatan bersubsidi berharga RM26 bagi berat 10 kilogram (kg) itu dibenarkan dibeli dua kampit untuk setiap seorang, namun tidak ada mekanisme bagi mengetahui mereka daripada golongan B40.
Ketiadaan mekanisme yang jelas dan pemantauan pihak berkuasa, memungkinkan peniaga membolot beras berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, bagi mengelak perkara itu berlaku, Kawal Selia Padi dan Beras perlu memantau dan mencari mekanisme terbaik memastikan BPT tidak dimonopoli golongan peniaga.
Katanya, beras subsidi itu sepatutnya untuk golongan yang memerlukan dan diharapkan tidak ada peniaga mengambil kesempatan membeli beras berkenaan untuk tujuan perniagaan berasaskan makanan.
“Untuk berniaga kedai makan atau sebagainya, sebaik-baiknya beli beras yang mahal sikit. Beras tempatan subsidi ini disasarkan kepada golongan miskin atau yang memerlukan sahaja.
“Setakat ini, pihak kawal selia akan bantu pantau dan jika tidak dapat laksana, maka satu kumpulan terdiri daripada semua agensi penguatkuasaan bawah bidang pertanian akan bergabung untuk atasi isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razali berkata, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik dan menghadkan satu keluarga hanya dua kampit atau sebaik-baiknya sekampit sahaja bagi membolehkan lebih ramai dalam kalangan mereka memerlukan mendapatkan BPT ini.
“Sekampit ini, selalu boleh tahan dalam 10 hari dengan sebulan sekitar tiga kampit sahaja. Bekalan BPT ini akan dibawa masuk dari masa ke semasa bergantung kepada permintaan dan keperluan pengguna di Perlis.
“Sekarang orang ramai sudah mula tahu keberadaan beras tempatan ini dan saya jangka dalam tempoh seminggu sahaja, 30 tan metrik beras yang dibekalkan di negeri ini akan habis terjual dan selepas itu, bekalan akan masuk lagi,” katanya.
Seorang pengguna, Lyana Nasir,40, berkata, selepas lebih dua tahun, bekalan beras tempatan akhirnya kembali berada di pasaran dan dia membeli dua kampit beras yang dibenarkan bagi satu keluarga, sekali gus menjimatkan perbelanjaan berbanding beras import yang lebih mahal.
“Satu keluarga hanya dibenarkan beli dua kampit sahaja bagi sekali pembelian. Saya harap bekalan beras tempatan ini akan terus berada di pasaran selepas ini,” katanya. – UTUSAN