SEREMBAN: Golongan peniaga terutamanya di bazar-bazar Ramadan di bandar ini didapati semain mematuhi larangan penggunaan plastik sekali guna yang telah dikuatkuasakan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, hasil pemantauan dilakukan kebanyakan peniaga sudah dapat mematuhi syarat lesen iaitu menggunakan plastik biodegradasi.
“Pihak penganjur (bazar Ramadan) juga mematuhi arahan ditetapkan MBS supaya setiap peniaga mesti menggunakan plastik biodegradasi.
“Jadi, hasil tinjauan saya juga sudah tidak nampak penggunaan plastik sekali guna. Bagi saya tahap kesedaran peniaga mengenai larangan penggunaan plastik sekali guna ini kian meningkat,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau pengoperasian Bazar Ramadan One Avenue di Seremban 2 di sini semalam.
Sementara itu, katanya, buat masa ini MBS masih dalam proses memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai larangan tersebut.
“Bagaimanapun penguatkuasaan tegas dengan kompaun juga akan dikenakan selepas ini, jika mendapati masih ada penggunaan plastik sekali guna terutama di kedai-kedai,” katanya. – UTUSAN