KULAI: Kerajaan negeri memberi amaran kepada mana-mana peniaga Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri agar tidak mengaut untung ‘atas angin’ dengan menyewakan tapak mereka kepada orang lain dengan bayaran berlipat kali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Mohd. Shukor berkata, peniaga yang didapati berbuat demikian akan dibatalkan permit mereka.
“Tindakan sama juga boleh diambil terhadap mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai penganjur bazar tersebut. Mereka dilantik untuk menyelaras dari segi penjagaan kebersihan dan sebagainya.
“Sekiranya kita dapati mereka bertindak mencari keuntungan dengan mengenakan sewa sehingga dua atau tiga kali ganda, saya tidak teragak-agak untuk membatalkan permit mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Inisiatif Bandar Pintar dan Mampan Bandar Putra dan Indahpura di sini, hari ini.
Mohd. Jafni berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh daerah di negeri ini juga tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga warga asing untuk berniaga di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.
Katanya, penguat kuasa di setiap PBT akan membuat pemantauan sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan tidak ada warga asing yang berniaga secara haram.
“Dasar kita jelas di peringkat PBT di mana tiada lesen dikeluarkan kepada peniaga asing. Ini antara lain bagi melindungi peniaga tempatan.
“Namun, isu yang timbul apabila ada warga asing ini berkahwin dengan orang tempatan dan menggunakan pasangan hidup mereka untuk mendapatkan lesen dan memohon permit.” ujarnya.
CAPTION
MOHD. JAFNI Mohd. Shukor (empat dari kiri) meletak tangan sebagai gimit perasmian Inisiatif Bandar Pintar dan Mampan Bandar Putra serta Indahputra di Kulai, Johor, hari ini. – FOTO/BAAZLAN IBRAHIM