KUALA LUMPUR: Setiap peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu mematuhi syarat ditetapkan termasuk memiliki lesen yang sah dan beroperasi di lokasi diwartakan bagi memastikan perniagaan berjalan lancar tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan sentiasa menyokong peniaga kecil dan berusaha memudahkan urusan perniagaan mereka.
Beliau berkata, peniaga juga perlu memberi kerjasama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan perniagaan dijalankan secara teratur dan mengikut undang-undang.
“Sehingga kini, sebanyak 40 lokasi telah diwartakan bagi penganjuran Bazar Ramadan dan peniaga telah diberikan tempoh yang mencukupi untuk memohon lesen. Justeru, tindakan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.
“Kami yakin tindakan yang diambil mendapat sokongan orang ramai kerana ia bertujuan memastikan ketertiban serta keadilan kepada semua peniaga yang mematuhi peraturan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular mengenai tindakan DBKL menyita alatan perniagaan segelintir peniaga yang beroperasi di lokasi tidak dibenarkan sehingga mengganggu laluan pejalan kaki.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, caj yang dikenakan bagi setiap tapak Bazar Ramadan di bawah DBKL serendah RM500 sahaja.
Katanya, caj itu termasuk cagaran sebanyak RM200 yang akan dipulangkan kepada peniaga sekiranya tiada pelanggaran syarat lesen.
“Sebelum ini, kita juga beri masa kepada peniaga untuk dapatkan lesen secara sah. Hanya peniaga yang tidak mempunyai lesen akan dikenakan tindakan.
“Kami juga masih menunggu maklumat penuh daripada DBKL mengenai perkara (sitaan) tersebut,” katanya.
Selain itu, Zaliha berkata, bazar tahun ini turut memperkenalkan Kempen Sifar Sisa, yang dilaksanakan buat pertama kali bagi mengurangkan pembaziran makanan dan sisa buangan.
Katanya, hasil pemantauan setakat ini menunjukkan tahap pematuhan peniaga berada pada tahap baik.
“Peniaga memberikan maklum balas positif kerana kadar sewa yang lebih rendah dan peluang mendapatkan semula wang cagaran jika mematuhi peraturan.
“Pemantauan juga lebih mudah kerana adanya keseragaman dalam penampilan peniaga, membolehkan tindakan segera diambil jika terdapat ketidakpatuhan,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif. – UTUSAN