PORT DICKSON: Semua peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini diingatkan supaya mempamerkan tanda harga jelas dan tidak mengelirukan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan malah menjadi paling tinggi dikesan membabitkan peniaga pada tahun lalu.
“Kesalahan tidak mempamerkan tanda harga ini merupakan kesalahan biasa di Bazar Aidilfitri. Yang kedua promosi mengelirukan. Contoh, pembeli lihat dari jauh, harga RM10 bagi satu kilogram (kg), rupanya hanya setengah kg.
“Pamerkanlah tanda harga yang betul. Letakkanlah tanda harga pada tempat yang boleh dilihat dan gunakanlah alat timbang sukat yang telah ditentusahkan, jika tidak kami boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Op Pemantauan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Bazar Ramadan Taman Politeknik, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat tiga bazar Ramadan di negeri ini terpilih sebagai Bazar Ramadan Rahmah iaitu bazar di Politeknik Port Dickson, Stadium Tampin dan Batu Kikir di Juasseh.
Menurutnya, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah diberikan insentif e-wallet bernilai RM100, manakala pengunjung juga akan mendapat insentif yang sama bernilai RM20
“Peniaga yang menawarkan Menu Rahmah tidak melebihi RM5, kami juga bagi kad khas diskaun di mana mereka boleh membeli barang mentah untuk urusan perniagaan mereka di pasar raya yang terlibat sebagai rakan strategik KPDN.
“Peniaga juga boleh membeli belah barangan keperluan perniagaan di program Jualan Rahmah Madani bergerak yang kami laksanakan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah dengan jumlah lebih tinggi, supaya dapat beli barang mentah dengan lebih rendah.
“Setakat dua hari ini hampir 60 peniaga Bazar Ramadan Rahmah berdaftar dengan kami dan bersetuju untuk menjual Menu Rahmah, kami harap jumlah tersebut akan terus meningkat,” katanya. – UTUSAN