PUTRAJAYA: Seorang lelaki memakai sut warna kelabu yang mengikuti pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditegur oleh pihak polis mahkamah selepas didapati membuat `live’ TikTok prosiding berkenaan.
Perbuatan terbabit dilakukan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini yang menyiarkan prosiding itu secara terus dari dewan Mahkamah Rayuan 5 yang turut menempatkan anggota media yang membuat liputan prosiding itu.
Pada ketika `live’ itu dilakukan, prosiding pendengaran rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih belum bermula namun mahkamah ketika itu sedang mendengar rayuan kes lain.
Beberapa individu lain yang dipercayai penyokong Syed Saddiq juga dilihat mengambil gambar di dalam dewan tersebut.
Penyokong-penyokong Syed Saddiq dibenarkan untuk berada di Dewan Persidangan yang sebelum ini dikhaskan buat pengamal media yang membuat liputan tersebut kerana kekurangan tempat duduk di dewan mahkamah.
Tindakan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengamal media yang selama ini telah diingatkan berulang kali agar tidak membuat sebarang rakaman prosiding.
Selepas menerima laporan berhubung TikTok `live’ tersebut, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah mengarahkan polis bantuan untuk menghentikan tindakan lelaki berkenaan.
Lelaki itu juga dilihat meninggalkan Dewan Persidangan buat beberapa ketika namun masuk semula apabila pendengaran rayuan itu bermula. – UTUSAN