KULAI: Seorang pengedar dadah yang beroperasi secara solo ditahan polis bersama dadah seberat 8.2 kilogram (kg) bernilai RM1.374 juta menerusi dua serbuan masing2 di hotel bajet dan rumah sewa suspek, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes narkotik sejak berusia 15 tahun.
“Serbuan ditahan di sebuah hotel bajet di Taman Pertama, Batu 21 Kulai, manakala pemeriksaan dijalankan di rumah sewa di Blok Temenggong 6, Jalan Indahpura 6 menemukan dadah serbuk ekstasi seberat 8.2 kg dan ketamin seberat 3 gram dengan nilai keseluruhan RM1,374,275.
“Turut dirampas beberapa alat digunakan untuk tujuan memproses dan pembungkusan seperti batu lesung dan paket plastik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini.
Tambah Seng Lee, suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak lebih sebulan lalu dengan menjual setiap paket yang dibungkus pada harga RM100 masing-masing.
“Modus operandi digunakan suspek adalah menjadikan rumah sewa sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah, manakala suspek sendiri menetap di bilik hotel.
“Setiap paket dadah dijual mengikut perisa berlainan seperti perisa coklat, strawberi dan kopi bergantung kepada kehendak pembeli,” ujarnya sambil memaklumkan jika kekal dalam pasaran dadah itu boleh digunakan sehingga 800 penagih.
Seng Lee turut memberitahu, suspek ditahan reman selama tujuh hari seminggu sehingga 2 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.