KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang hari ini gagal dalam usaha mereka untuk membatalkan pertuduhan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain.
Ia selepas Hakim K. Muniandy memutuskan Seksyen 298 Kanun Keseksaan itu sah dan berperlembagaan serta kekal berkuat kuasa di bawah Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia juga selaras dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama tertakluk kepada ketenteraman awam manakala Perkara 11(5) pula melarang sebarang tindakan bercanggah dengan undang-undang mengenai ketenteraman, kesihatan atau moral.
“Parlimen berhak mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara demi ketenteraman awam dan moral, menurut Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Seksyen 298 Kanun Keseksaan mempunyai kaitan dengan sekatan munasabah yang dibenarkan. Peruntukan ini meliputi tindakan yang boleh menyakiti perasaan keagamaan orang lain.
“Dengan adanya elemen niat dan tindakan dalam Seksyen 298, ia tidak boleh dianggap samar atau melampaui batas. Oleh itu, ketiadaan istilah ‘ketenteraman awam’ dalam peruntukan ini tidak menghilangkan syarat liabiliti jenayah. Dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa permohonan pemohon untuk membatalkan Seksyen 298 tidak berasas,” kata hakim itu.
Selain itu, Mahkamah Tinggi juga mendapati tiada isu perlembagaan yang perlu dirujuk bagi menentukan prosiding jenayah di Mahkamah Majistret.
“Tertuduh mempunyai hak untuk membela diri, sementara pendakwaan perlu membuktikan bahawa tertuduh mengeluarkan kata-kata atau meletakkan objek dengan niat mencederakan perasaan agama secara sengaja.
“Untuk mensabitkan seseorang di bawah peruntukan ini, niat tertuduh mesti dibuktikan dengan jelas, bukan sekadar menunjukkan bahawa dia tahu tindakannya boleh menyakiti perasaan agama orang lain. Keberkesanan Seksyen 298 adalah penting dalam masyarakat majmuk bagi menjaga sensitiviti agama dan kaum,” katanya.
Selepas membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Muniandy kemudian menolak permohonan Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng dan memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.
Sementara itu, peguam N. Surendran berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat selepas menerima penghakiman penuh Mahkamah Tinggi hari ini.
“Kami menghormati Perlembagaan, tetapi kami tidak bersetuju. Mahkamah juga memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret, namun kami akan mengemukakan rayuan secepat mungkin.
“Dengan pasti kita akan minta supaya perbicaraan ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan,” katanya yang memaklumkan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 Mac ini.
Pada 14 Jun 2024, pengarah filem itu, Mohd. Khairianwar dan penerbitnya, Meng Kheng dibenarkan untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi berhubung keabsahan seksyen tersebut yang didakwa menyekat hak kebebasan bersuara.
Mereka juga memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu berkaitan unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan, melanggar hak bagi perbicaraan adil kerana tidak sah dan tidak jelas.
Pada 17 Jan 2024, Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, pada jam 12.34 tengah hari 26 Februari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN