PETALING JAYA: Pengamal media sebuah portal tempatan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini akan didakwa di mahkamah, Jumaat ini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu diambil selepas perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
“Saya dimaklumkan bahawa wartawan tersebut akan didakwa pada Jumaat,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan wartawan lelaki terbabit ditahan pada 28 Februari lalu berhubung dakwaan kes rasuah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Azam dilaporkan berkata, suspek lelaki ditahan 11.45 malam di sebuah hotel di Shah Alam hasil aduan dan operasi dilakukan pegawai penyiasat SPRM.
“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah yang besar tetapi setelah berunding, suspek bersetuju menerima kira-kira RM20,000,” katanya.- UTUSAN