MELAKA: Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) tampil menghulurkan bantuan kepada bekas pemain ragbi, Mohamad Nasirudin Md. Zen, 39, yang kini bertarung dengan kanser usus dan hati tahap empat.
Pengerusi PSBM, Ashwad Abd. Rahim berkata, kisah Mohamad Nasirudin atau lebih dikenali sebagai Pok Din menyentuh hati ramai pihak dan seharusnya dibantu bagi meringankan beban ditanggungnya.
“Saya datang sendiri melihat keadaan beliau dengan niat menyerahkan sumbangan berbentuk makanan serta sedikit wang tunai.
“Selain itu, PSBM juga menawarkan bantuan pengangkutan bagi rawatan susulan serta penginapan sepanjang tempoh rawatan untuk memastikan Pok Din dapat menjalani rawatan dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui di Kampung Jambatan Duyong di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Ramadan kali ini menjadi ujian terbesar bagi Mohamad Nasirudin yang kini bertarung dengan kanser usus dan hati tahap empat.
Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, harapannya hanya satu agar diberi peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Mohamad Nasirudin berkata, sebelum ini dia aktif bekerja sebagai penghantar barang untuk menyara keluarga, namun sejak empat bulan lalu pergerakannya terbatas.
Tambah Ashwad, kos rawatan utama ditanggung kerajaan manakala PSBM mengambil inisiatif untuk membantu dalam aspek lain.
“PSBM sentiasa peka terhadap nasib masyarakat yang ditimpa musibah, bukan sahaja dalam aspek bencana tetapi juga dalam membantu pesakit yang memerlukan perhatian dan sokongan.
“Kami bukan sekadar mahu menyumbang, tetapi juga ingin terus mengikuti perkembangan Pok Din supaya dia tidak berjuang sendirian dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN