Pendandan rambut 'bertongkat' didakwa pukul suami guna penyapu

Pendandan rambut ‘bertongkat’ didakwa pukul suami guna penyapu

SHARIFAH Nurul Ainasama yang bertongkat akibat patah kaki didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau pada hujung Februari lalu. UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pendandan rambut yang patah kaki kanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau pada hujung Februari lalu.

Tertuduh, Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, yang merupakan suaminya dengan menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 pagi di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Februari lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan sekiranya mahkamah membenarkan pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi, lapor diri di balai polis serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Menurut Norazihah, mangsa yang merupakan suami tertuduh mengalami kecederaan laceration (lecetan) kerana tertuduh menggunakan pisau selain terdapat beberapa kesan lebam di belakang badan akibat dipukul dengan penyapu dan kesan gigitan serta soft tissue injury (kecederaan tisu lembut).

Sharifah Nurul Ainasama yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa kakinya patah selepas bergaduh dan dipukul suaminya terlebih dahulu.

Dalam rayuannya, wanita tersebut memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, bagaimanapun tiada anak hasil perkahwinan bersama mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 deorang seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 April depan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya