PETALING JAYA: Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi mendapat sokongan teknikal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua badan itu akan membantu dalam pencarian yang diketuai oleh firma penerokaan berpangkalan di United Kingdom, Ocean Infinity.
“Kerajaan menghargai kerjasama erat dan bantuan daripada semua pihak yang terbabit dalam salah satu usaha pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan.
“Genap 11 tahun kehilangan pesawat MH370, hari ini Malaysia menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi pencarian pesawat terbabit bersandarkan petunjuk berwibawa, sekali gus memberikan jawapan yang diperlukan keluarga mangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu yang bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
“Operasi ini akan dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’ yang bermaksud tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan,” katanya.
Katanya, kementerian sedar akan perhatian awam yang tinggi terhadap usaha pencarian itu dan sedang giat memuktamadkan perjanjian pencarian baharu, selaras dengan prosedur Kerajaan Malaysia.
“Kerajaan menzahirkan simpati yang tidak terhingga kepada waris keluarga penumpang dan kru MH370. Meskipun masa terus berlalu, ia tidak mengurangkan rasa duka dan ketidakpastian kepada waris penumpang dan kru pesawat MH370. Usaha untuk mendapatkan jawapan masih diteruskan,” katanya.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa 277 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China namun kemudian hilang dari radar dan gagal dikesan sehingga hari ini.
Usaha pencarian pertama Ocean Infinity yang bermula pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil. – UTUSAN