PETALING JAYA: Penasihat agensi pelancongan direman sehari selepas disyaki mencederakan seorang pelajar sekolah menengah dalam satu insiden perselisihan faham di Saujana Impian, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini seramai enam individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut dan siasatan masih diteruskan.
Menurut beliau, suspek berusia 39 tahun, ditahan sekitar pukul 9.50 malam semalam di kawasan Kajang selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.
“Mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, membuat laporan polis pada pukul 9.24 malam tadi mendakwa telah dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 petang ketika kedua-duanya sedang memandu di kawasan Saujana Impian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Naazron, akibat kejadian itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan retak tulang hidung dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengenakan tindakan saman trafik ke atas remaja terbabit selepas mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 34 saat yang memaparkan pelajar lelaki berkenaan berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta dipercayai akibat dipukul individu tertentu tular di media sosial. – UTUSAN