Pemuda UMNO setuju sekat perjalanan peminjam gagal bayar pinjaman PTPTN - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO setuju sekat perjalanan peminjam gagal bayar pinjaman PTPTN

MUHAMAD Akmal Saleh beramah mesra pada program santai moreh Pemuda UMNO di Kangar Jaya, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal berpendirian bahawa hutang yang melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib dibayar, dan tidak pernah terlibat dalam permainan isu PTPTN percuma yang sering digembar-gemburkan pihak tertentu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, berkata parti itu konsisten dalam pendiriannya peminjam PTPTN bertanggungjawab membayar balik pinjaman kerana kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan negatif terhadap kerajaan ketika ini.

Malah katanya, parti turut bersetuju dengan cadangan kerajaan mengenai mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN.

“Pemuda berpendirian sejak dahulu lagi semasa UMNO BN jadi kerajaan bahawa hutang wajib dibayar. Yang main isu PTPTN percuma sebelum ini bukan kami dan kita setuju bahawa peminjam wajib bayar hutang dia.

“Sebab kita ada tanggungjawab lagi kepada generasi akan datang. Bila dia (peminjam) boleh ke luar negara maka dia perlu bayar hutang,” katanya ketika ditemui pada program santai moreh di sini, semalam.

Semalam media melaporkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, kaedah itu antara langkah sedang dipertimbangkan bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN malah ia memberikan impak baik dalam proses pembayaran balik, cuma selepas itu dimansuhkan.

Muhamad Akmal berkata, bagaimanapun, cadangan sekatan semula itu dijangka memberi kesan kepada kerajaan hari ini berikutan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang pernah menjanjikan pendidikan percuma.

“Sudah tentu akan memberi kesan. Siapa tidak marah apabila dahulu berjanji dan rakyat menagih janji tersebut. Sebab itu saya katakan, sebagai pemimpin, kita perlu bertanggungjawab.

“Janji kepada rakyat mesti ditepati. Itulah yang selalu diajar pemimpin UMNO dan BN kepada kami, bahawa apabila bercakap, ia mestilah perkara yang realistik dan boleh dilaksanakan,” katanya.

Muhamad Akmal turut menegaskan, sebagai pemimpin, penting untuk memberi janji yang mampu ditunaikan, bukan hanya untuk meraih undi, tetapi melaksanakan amanah apabila kuasa diperoleh.

“Ini peringatan untuk diri saya sendiri dan juga pemimpin dalam kerajaan atau pembangkang agar menjadi pemimpin yang bertanggungjawab,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya