PETALING JAYA: Insiden pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyeru agar umat Islam mengamalkan konsep tabayyun (menyelidik sebelum bertindak) dalam menjaga keharmonian masyarakat.
“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Mohd. Naim turut berkongsikan sepotong Hadis Riwayat Tarmizi yang mengingatkan tentang bertindak secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.
“Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam agar mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.
“Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia dan penuh dengan nilai kasih sayang, selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” katanya.
Sejak semalam, tular dalam aplikasi X rakaman video mengenai seorang warga emas lelaki yang berang dengan tindakan lelaki bukan Islam yang menikmati makanan ketika bulan puasa di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru.
Warga emas itu kemudian menyoal mangsa sama ada dirinya seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.
Mangsa kemudian didakwa ditampar beberapa kali selepas enggan menunjukkan kad pengenalannya kepada warga emas berkenaan. – UTUSAN