Pemilihan Anta Permana bukti komposer Malaysia taraf antarabangsa - Utusan Malaysia

Pemilihan Anta Permana bukti komposer Malaysia taraf antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu Anta Permana yang menjadi pilihan Raja Charles III adalah bukti kualiti produk komposer Malaysia setaraf antarabangsa.

Mengulas mengenai perkara itu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, lagu tersebut mempunyai lenggok kemelayuan menjadikannya karya yang unik untuk didengari.

“Komposer kita ini sebenarnya hebat, kita boleh menembusi pasaran antarabangsa, cuma mungkin tidak terlalu didedahkan.

“Disebabkan itu bila kita bertanding di luar negara, kita selalu dapat perhatian dan akan pulang membawa kejayaan.

“Lenggok Melayu ini sebenarnya sedap didengar, Alhamdulillah saya rasa ini sebagai satu penghormatan, tak sangka dalam banyak-banyak lagu, terselit juga satu karya dari Malaysia,” katanya.

Siti ditemui di sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Raya Nak Ke Mana? yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, berkongsi tentang momen bersejarah itu, Siti sempat menyangka berita tersebut hanyalah sekadar gurauan.

Bagaimanapun, perkara itu telah disahkan dan dimaklumkan sendiri oleh pihak pengurusan Apple Music pada Selasa.

“Saya berterima kasih atas penghargaan ini, saya tahu tentang perkara ini semalam (Selasa), mula-mula rasa seperti biar betul, rasa macam kena tipu .

“Tapi perkara ini disahkan sendiri pihak Apple Music dan dimaklumkan oleh Univrsal Music. Alhamdulillah saya gembira untuk lagu Malaysia kerana terpilih menjadi antara lagu pilihan Raja Britain,” ujarnya.

Terdahulu, lagu Anta Pemana menjadi salah satu daripada muzik pilihan Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.

Senarai lagu tersebut telah dikumpulkan menerusi platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist.

Selain Siti, antara artis antarabangsa lain yang berada dalam senarai itu ialah Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross.

Lagu Anta Permana dihasilkan oleh Ezra Kong serta Hael Hussaini dan terbit pada 2018- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya