Tsunami kepintaran buatan (AI) mula melanda dunia dalam segenap aspek kehidupan seharian manusia dan dijangkakan impaknya akan terus membara pada tahun-tahun yang akan datang.
Justeru kita perlu memastikan anak- anak generasi masa depan tidak ketinggalan lantas wajar mendapat pendedahan awal sewajarnya tentang teknologi AI dan kesannya kepada kehidupan kita.
Umpama melentur buluh biar dari rebungnya, anak-anak sejak dari sekolah rendah perlu dibiasakan dengan teknologi terkini seperti AI agar mereka tidak takut, terkejut atau kekok untuk menggunakannya bila semakin meningkat dewasa, terutamanya apabila penggunaan AI mula menjadi satu tuntutan utama dalam pelbagai bidang pengajian dan pekerjaan.
Kita wajar mencontohi inisiatif negara luar yang mula memberi perhatian serius terhadap penggunaan dan pembelajaran AI di sekolah seperti China yang akan memperkenalkan mata pelajaran AI kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah bermula September depan.
Ini adalah langkah strategik negara terbabit dalam memastikan generasi masa hadapan dapat menjadikan negara mereka sebagai peneraju teknologi ini. Dilaporkan sekolah hanya diwajibkan mengajar 8 jam mata pelajaran AI sepanjang tahun akademik, dengan ia diintegrasikan ke dalam mata pelajaran sedia ada.
Jadi kita syorkan pihak kerajaan meneliti pendekatan yang bersesuaian untuk memperkenalkan teknologi AI ini di peringkat sekolah rendah secara berperingkat mengikut kesesuaian. Misalnya seperti di China, kita juga boleh integrasikan pengetahuan tentang teknologi ini dalam mata pelajaran sedia ada agar tidak membebankan guru dan juga murid.
Ironinya, murid-murid seawal sekolah rendah wajar diberi pendedahan supaya mereka boleh mengetahui kelebihan dan kelemahan teknologi ini secara lebih santai tetapi berstruktur dan betul.
Harus diingat teknologi seperti AI ini adalah bersifat organik, yakni akan terus berkembang justeru perlu diberi pendedahan awal supaya mudah untuk anak-anak mengikuti perkembangannya dan menambah pengetahuan seiring dengan perubahan yang akan berlaku kelak.
Penting juga untuk dimulakan di peringkat sekolah rendah supaya kita dapat membina asas pemahaman dan pengetahuan yang jitu dalam kalangan murid terutamanya dalam konteks cara dan etika penggunaan, selain ancaman yang dibawa jika disalahgunakan untuk tujuan yang tidak betul. Melalui pengetahuan awal kita yakin anak-anak akan terus membina dan menambah kemahiran diperlukan untuk memudahkan urusan kehidupan. –UTUSAN.
NOOR MOHAMAD
SHAKIL HAMEED
Yang Dipertua PIBG SMK Seri Serdang Selangor