PUTRAJAYA: Syarikat pembangunan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum memberikan sebarang keputusan sama ada akan memberikan kebenaran kepada dua bekas peguamnya untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion syarikat itu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya telah menulis surat kepada 1MDB berhubung hasrat pembelaan untuk memanggil bekas-bekas peguam itu namun masih belum mendapat sebarang maklum balas menyebabkan mereka `terpaksa’ meminta bantuan pihak pendakwaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihaknya telah menerima sesalinan surat daripada Tetuan Shafee & Co dan telah merujuk surat terbabit kepada 1MDB pada 18 Februari lalu.
“1MDB perlu membuat mesyuarat Lembaga Pengarah bagi mendapatkan `lampu hijau’ daripada Pengerusi 1MDB. Saya difahamkan keputusan itu akan dibuat hari ini,” kata Ahmad Akram.
Pengerusi terkini 1MDB ialah Datuk Johan Mahmood Merican yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).
Kebenaran tersebut perlu diperoleh terlebih dahulu kerana ia membabitkan kerahsiaan di antara pelanggan dan peguam.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta pihak-pihak untuk memberikan perkembangan terkini berhubung saksi-saksi tersebut.
Beliau turut meminta pihak pembelaan untuk menyediakan saksi lain untuk dipanggil memberi keterangan agar tidak membuang masa kes yang telah berlanjutan sejak enam tahun lalu.
Selain itu, Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak dapat membuat pemeriksaan semula terhadap saksi pembelaan ke-12, bekas Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin berikutan masalah teknikal.
“Disebabkan terdapat masalah teknikal berkait dengan rakaman prosiding mahkamah sejak 27 Februari lalu, transkrip prosiding hanya diterima oleh pihak kami pada pagi ini dan kami masih belum boleh menelitinya.
“Jadi kami memerlukan sedikit masa untuk menelitinya sebelum pemeriksaan semula saksi boleh dijalankan,”kata Muhammad Shafee.
Terdahulu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Che Lodin sekali lagi menafikan bahawa dia adalah proksi kepada Najib.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pelantikannya sebagai Pengerusi 1MDB adalah untuk memastikan semua keputusan yang dibuat oleh perdana menteri ketika itu, dilaksanakan.
Pada prosiding terdahulu, Che Lodin mendakwa hubungannya dengan Najib adalah profesional dan formal walaupun mengenali bekas Ahli Parlimen Pekan itu hampir lima dekad.
Isu tersebut timbul selepas Che Lodin `mendedahkan’ beliau bukanlah proksi kepada Najib ketika disoal balas namun tidak pernah menyatakan sedemikian dalam penyataan saksinya.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN