PETALING JAYA: Seorang pembantu pengurusan murid yang videonya tular mengasari seorang pelajar autisme di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya di sini telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pagi ini bagi memberi keterangan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya sedang merakam percakapan wanita berkenaan bagi melengkapkan siasatan.
“Dia telah hadir ke IPD Petaling Jaya pagi ini dan kita sedang merakam percakapannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Shahrulnizam, ibu kepada murid terlibat juga telah hadir memberi keterangan kepada polis berhubung insiden berkenaan.
Terdahulu, polis menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pembantu pengurusan murid yang mengasari seorang pelajar autisme berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya.
Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 selepas pihaknya mengesan sebuah hantaran dalam platform TikTok yang memaparkan kejadian itu, kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.– UTUSAN