MELAKA : Seorang pembantu kantin sebuah kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah bas di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka Tengah, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, mangsa, Najib Khan Hazam Khan, 47, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15R berwarna hijau, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan itu.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai cuba mengelak kenderaan lain sebelum bergesel dengan bas yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Ayer Keroh ke Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.
“Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 3.30 petang sebelum anggota trafik bersama pasukan perubatan dikerahkan ke lokasi.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.