KLUANG: Seorang pemandu lori kontena membawa muatan mesin yang terbabit dalam nahas di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) dekat sini yang meragut nyawa lima nyawa malam semalam telah diambil keterangan dan ditahan reman hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu pula didapati negatif.
“Pemandu treler telah disoal siasat dan telah ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu treler itu turut cedera di kaki kanan dan pinggang dan mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nahas membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori kontena pada pukul 11.30 malam tadi itu telah menyebabkan lima maut termasuk pasangan suami isteri dan anak bongsu mereka.-UTUSAN