PETALING JAYA: Polis menahan pemandu lori yang memandu secara melawan arus dan menghalang laluan kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Persiaran Mahkota Residence, Kajang di sini dengan video kejadian tular baru-baru ini.
Lelaki berusia 60 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya melalui Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengesan rakaman video tular kejadian itu di Facebook kelmarin.
“Ia memaparkan seorang pemandu lori memandu secara melawan arus di Jalan Persiaran Mahkota Residence dan menghalang laluan kenderaan dari Jalan Mahkota Residence 1 untuk masuk ke Jalan Persiaran Mahkota Residence.
Bertindak atas rakaman tular itu, pemandu lori berkenaan berjaya dikesan dan ditahan kerana memandu secara berbahaya dan melulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN