KANGAR: Seorang pemandu lori didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 1,220 liter petrol tanpa lesen sah di sebuah rumah di Kampung Wang Kelian di Kaki Bukit, Padang Besar dua tahun lalu.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid turut memerintah tertuduh, Muhammad Dinie Fahmi Zulkepli, 24, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Beliau turut memerintahkan wang jualan rampasan petrol bernilai RM2,501 dijadikan hasil negara, manakala barang kes lain diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki minyak petrol dalam beberapa tong dram dan tong plastik dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.
Lelaki berkenaan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara runcit minyak petrol tanpa lesen sah.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.10 petang pada 18 September 2023 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit di Padang Besar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Dia yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman dikurangkan dengan alasan menanggung empat orang tanggungan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Mugunthan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana kesalahan itu melibatkan penyelewengan bahan bakar bersubsidi yang memberi kesan kepada kepentingan awam. – UTUSAN