JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kecederaan dan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun di Jalan Pantai, di sini Ahad lalu.
Tertuduh, I. Muniandy @ Ang Ah Leang, 57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muniandy didakwa memandu sebuah lori di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mengakibatkan kematian Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz di Kilometer 2.4 Jalan Pantai, di sini pada pukul 10.10 malam, 16 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, lesen memandu diendors oleh mahkamah serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Khairuz Bahrawi, 44, dan Lina Yulianti, 38, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, selain lesen memandu diendors oleh mahkamah serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu tempoh kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnam Saleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, larangan mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ahad lalu, seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama empat yang lain, termasuk seorang pembantu rumah warga Indonesia dirempuh lori yang terbabas dan memasuki lorong bertentangan. – UTUSAN