PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofian mengingatkan bahawa keharmonian dan perpaduan semua lapisan rakyat adalah asas kenegaraan yang mesti dipelihara bagai menatang minyak yang penuh.
Seri Paduka bertitah, keharmonian dan perpaduan kaum itu seterusnya perlu dipupuk dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain untuk menjaga perpaduan kita ini, berdasarkan lima Rukun Negara yang harus sentiasa terpahat dalam hati nurani setiap rakyat.
“Dalam memupuk kebersamaan dan perpaduan yang tulus ikhlas secara berhemah dan produktif, usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membanteras tanpa kompromi sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan,” titah Seri Paduka.
Titah itu dikeluarkani dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Seri Paduka bertitah, semua pihak harus memahami bahawa menjaga perpaduan bukan satu usaha yang mempunyai tarikh tamatnya.
Titah baginda, ia adalah sesuatu yang mesti berterusan selamanya iaitu mendidik, memupuk dan menyemai dalam rakyat kita.
“Perpaduan kita tidak patut sekadar di permukaan sahaja, tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah perasaan mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada yang disengajakan mahupun tidak.
“Saya harap pesanan ini disambut dan diambil tindakan sebaiknya oleh kerajaan dan juga rakyat jelata kerana perpaduan adalah asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran kita semua.
“Saya dan isteri saya mendoakan semoga sekalian rakyat dan seluruh negara kita dilindungi daripada musibah, In Shaa Allah,” titah Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim juga merakam penghargaan kepada kepada semua yang gigih berusaha berkhidmat demi negara sehingga hari ini.
“Kepada mereka yang gigih berkhidmat untuk negara pada hari mulia ini, jasa dan pengorbanan anda dihargai, semoga anda semua dikurniakan keberkatan dan terus ditiupkan semangat yang kental serta jitu,” titah Seri Paduka.-UTUSAN