SUNGAI PETANI: Beras putih tempatan (BPT) bersubsidi didapati masih belum berada di kebanyakan premis jualan di daerah ini, walaupun kerajaan memaklumkan ia boleh didapati bermula 1 Mac lalu.
Tinjauan di beberapa premis runcit dan borong mendapati, hanya beras putih import sekampit 10 kilogram (kg) berharga antara RM29 hingga RM34.50 sahaja dijual.
Peniaga kedai runcit di Taman Ria Jaya yang mahu dikenali sebagai Kamal berkata, dia terkesan kerana perlu mengeluarkan modal tinggi mendapatkan beras import untuk meneruskan perniagaan kerana ketiadaan stok BPT.
“Saya menunggu stok beras tempatan seperti yang dijanjikan tetapi hampa kerana belum menerimanya lalu menyebabkan perlu memesan beras import untuk memenuhi keperluan pelanggan.
“Jika tiada beras, kebanyakan pelanggan tidak akan membeli barangan lain yang menyebabkan saya kehilangan hasil jualan,” katanya ketika ditemui.
Suri rumah, Faizah Ghazali, 53, pula mengeluh kerana telah lama berjimat ketika berbelanja berikutan kenaikan pelbagai harga barang.
“Pengumuman BPT yang bakal dijual dengan harga RM26 memang menyebabkan kami menantinya, namun sehingga sekarang penantian itu belum berakhir kerana bekalan itu tiada di pasaran,” katanya. – UTUSAN