Pelajar UKM beri sokongan moral pesakit kanser sempena Hari Wanita Sedunia

Pelajar UKM beri sokongan moral pesakit kanser sempena Hari Wanita Sedunia

SEKUMPULAN pelajar UKM-GSB  mengambil inisiatif melawat ke beberapa rumah pesakit kanser wanita di sekitar Lembah Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UKM-GSB  mengambil inisiatif melawat ke beberapa rumah pesakit kanser wanita di sekitar Lembah Klang.

Inisiatif kumpulan pelajar yang menamakan sebagai EcoVenture itu bertujuan memberi sokongan moral kepada pesakit kanser wanita antaranya penghidap kanser limfoma dan kanser ovari bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac.

Menurut wakil kumpulan pelajar itu, pihaknya turut memberikan sumbangan berbentuk wang tunai, barangan keperluan harian dan kelengkapan perubatan.

“Sumbangan amal ini dilakukan bersama wakil dari Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST, UKM).

“Ia bukan sahaja bertujuan memberi sokongan moral, tetapi sebagai salah satu inisiatif meningkatkan kesedaran tentang kanser dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya di sini semalam.

Pada masa sama, kumpulan EcoVenture turut menganjurkan program ‘Plogging Eco Run 2025’ di Pantai Kelanang, Banting pada 15 Februari lalu sebagai usaha memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Aktiviti di bawah bimbingan Pensyarah Kanan UKM-GSB, Dr. Mazzlida Mat Deli itu adalah kerjasama KMUKM dan PMFST berjaya menarik lebih daripada 100 orang peserta terdiri daripada pelajar UKM, wakil pihak penaja, aktivis alam sekitar, dan penduduk tempatan.

ECOVENTURE turut menganjurkan program ‘Plogging Eco Run 2025’ di Pantai Kelanang, Banting

“Setiap peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil dan dikehendaki menjelajahi kawasan hutan bakau dan sekitar pantai kelanang sejauh 8 kilometer sambil mengutip sampah seperti plastik, kaca, aluminium, dan sisa makanan.

“Hasil daripada acara ini, kira-kira 85 kilogram sampah di sepanjang kawasan Pantai Kelanang berjaya dikutip para peserta,” katanya.

Hutan bakau di Pantai Kelanang telah menjadi menjadi lokasi pilihan utama pembersihan kerana ia merupakan habitat penting bagi pelbagai spesies marin dan burung migrasi.

Selain membersihkan kawasan pantai, acara ini juga memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan hutan bakau dalam menstabilkan ekosistem pantai serta mengurangkan kesan perubahan iklim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN