KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tahfiz maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Kampung Pengadang Baru di sini, malam tadi.
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam itu menyebabkan pelajar Maahad Tahfiz Quran Terengganu, Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang mangsa dipercayai keluar secara mengejut dari simpang Sungai Rengas menuju ke simpang Taman Adeli 2.
“Ketika kejadian, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y125 yang ditunggang seorang lelaki datang dari arah Jalan Kepong tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan motosikal mangsa. Kemalangan mengakibatkan Muhammad Adam mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – UTUSAN