IPOH: Seorang pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini cedera ketika simulasi Ex-Kurung 2025 dijalankan pasukan 69 Komando di kampus itu, hari ini.
PUO dalam kenyataan memaklumkan, pelajar perempuan berusia 22 tahun itu terseliuh kaki kiri selepas terjatuh semasa menyelamatkan diri ketika simulasi sedang dijalankan.
Katanya, pelajar terbabit bagaimanapun telah diberikan rawatan oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
“Ketika ini tular pelbagai spekulasi berkenaan kakitangan atau pelajar yang tercedera semasa sesi simulasi dijalankan.
“PUO ingin memaklumkan, setakat ini hanya seorang pelajar mengalami kecederaan ringan dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, petugas Kementerian Kesihatan KKM turut berada dalam kampus untuk memberi bantuan kesihatan dan perkhidmatan psikologi buat warga dan pelajar yang memerlukan.
“Untuk sebarang pertanyaan, ibu-bapa atau waris pelajar boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO di talian 011-62557656,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook dengan beberapa pengguna mendakwa, ahli keluarga mereka yang berada di lokasi simulasi itu panik dan ketakutan kerana menyangkakan insiden berkenaan adalah kejadian sebenar.
Dakwa mereka, ada antara pelajar yang bertindak terjun bangunan sehingga mengalami kecederaan kaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, suasana panik di kampus PUO sekitar pukul 9 pagi tadi merupakan Latihan Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Menurut beliau, latihan berskala kecil itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan agensi terlibat termasuk pasukan polis, PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam mengurus dan mengendalikan krisis keganasan. – UTUSAN