JASIN: Dua orang pelajar perempuan Politeknik Merlimau di sini mengalami kecederaan selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar tali dipercayai tali tangsi layang-layang yang merentangi jalan di Jalan Bandar Baru Merlimau Utara, petang Jumaat lalu.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 6.30 petang itu menyebabkan kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan selepas terkena tali tersebut.
Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli juadah untuk berbuka puasa ketika insiden berlaku.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, salah seorang mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau berhubung kejadian tersebut.
“Salah seorang mangsa mengalami luka ringan di bahagian jari dan leher manakala rakannya cedera pada bibir serta tapak tangan akibat terkena tali itu.
“Kedua-duanya telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku berhampiran Dataran Orang Kampung, lokasi yang sering dijadikan tempat untuk bermain layang-layang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan memilih kawasan yang lebih sesuai serta lapang untuk aktiviti tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bermain layang-layang berhampiran jalan raya, tiang elektrik atau kawasan tinggi kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya dan orang sekeliling,” tambahnya.
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas gambar mangsa yang cedera dimuat naik di Facebook.-UTUSAN