KAJANG: Seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas dipukul seorang lelaki dalam kejadian akibat perselisihan faham semasa memandu di Saujana Impian, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.24 malam daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
“Siasatan awal mendapati insiden berlaku sekitar pukul 2.15 petang apabila berlaku perselisihan faham di jalan raya antara mangsa dan seorang lelaki tidak dikenali.
“Akibat kejadian itu, remaja berkenaan mengalami retak tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, “ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Naazron, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik atas kesalahan tersebut.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penasihat sebuah agensi pelancongan di sekitar Kajang pada pukul 9.50 malam bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga membahayakan keselamatan orang lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor E.N. Chalart Cinda di talian 017-9825510,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta, dipercayai akibat dipukul individu terbabit.