PORT DICKSON: Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di daerah ini ditemukan lemas selepas terjatuh ke laut ketika memancing dalam kejadian berhampiran Jeti Nelayan Kampung Gelam di sini.
Mangsa, A. Pavithran, 17, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 12.28 tengah malam tadi iaitu dalam jarak 50 meter dari tempatnya jatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya sebelum itu telah menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.28 malam semalam.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dikatakan telah jatuh ke dalam laut ketika melakukan aktiviti memancing. Bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Telok Kemang turut ke lokasi bagi membantu pencarian.
“Sekitar pukul 9.31 malam, anggota bomba membuat pemantauan di pesisir pantai manakala anggota PPDA terdiri dua sektor membuat operasi penyelamatan di permukaan air pada radius 50 meter dari pesisir pantai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Mohd Kamal lagi, sekitar pukul 10.06 malam, anggota menaiki dua buah kayak membuat pencarian permukaan pantai di dua sektor sebelum mangsa ditemukan.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan kira-kira pukul 1 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN