SEREMBAN: Seorang pelajar kolej dikenakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan selepas mengaku bersalah merogol remaja berusia 14 tahun, hujung tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirullah Zaazuren, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Felda Raja Alias 2, Jempol, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 30 Disember 2024.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah bon kerana ibunya mempunyai hutang dengan bank.
Pada prosiding di mahkamah, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membentangkan laporan sosial tertuduh yang ketika ini sedang menuntut di sebuah kolej.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan dengan cagaran bon sebanyak RM4,000.
Tertuduh juga diarahkan melapor diri ke balai polis pada setiap 1 hari bulan dan hadir pada sesi kaunseling dan aktiviti yang diaturkan JKM.
Sekiranya gagal menyempurnakan syarat berkenaan, tertuduh akan dibicarakan semula mengikut pertuduhan dan hukuman asal selain bon dirampas. – UTUSAN