TASEK GELUGOR : Seorang pekerja restoran nasi kandar warga Myanmar maut akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki di Taman Sepadu Jaya di sini, kira-kira pukul 3.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, akibat tetakan di bahagian belakang lengan kanan, kepala dan belakang badan itu, mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian.
Terdahulu, beliau berkata, polis menerima panggilan mengatakan seorang lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun itu diserang oleh empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang di restoran terbabit.
Sehubungan itu katanya, pegawai penyiasat bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK negeri telah dikerah ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati, keempat-empat suspek memakai topi dan penutup muka serta bersenjatakan parang turun dari sebuah kenderaan berwarna gelap sebelum menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran terbabit.
“Mangsa bertindak melarikan diri dan kesemua suspek mengejar dan kemudiannya menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan.
“Selepas ditetak beberapa kali, mangsa kemudiannya jatuh terbaring sebelum keempat-empat suspek bertindak melarikan diri menaiki kenderaan sama,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan ketika ini polis sedang giat mengenal pasti keempat-empat suspek yang terlibat.-UTUSAN