BATU PAHAT: Seorang pekebun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kenalan wanita awal bulan ini.
Walau bagaimanapun, Mohammad Firdaus Baktehir, 29, hanya tunduk serta mengangguk faham dan kelihatan tenang selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Das.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad Firdaus didakwa membunuh Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di Kampung Baru Sri Gading, di sini, kira-kira pukul 5 petang, 8 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syeikh Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan, melakukan perbuatan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah.
Namun, mangsa yang melecur teruk dalam kebakaran rumah itu meninggal dunia pada 9 Mac, polis mengklasifikasi semula siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN