KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai perubatan berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM86,200 lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan kripto dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa iaitu wanita berusia 39 tahun menerima pelawaan seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘Lucas’ untuk menyertai kumpulan aplikaso WhatsApp bagi berkongsi maklumat pasaran saham.
Katanya, pada November lepas, mangsa diperkenal dengan pelaburan kripto dalam kumpulan WhatsApp tersebut yang menawarkan keuntungan lumayan.
“Mangsa yang mahu mendapatkan keuntungan itu menggunakan wang simpanannya untuk membuat lima transaksi berjumlah RM86,200 ke akaun yang diarahkan. Malangnya, mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan daripada akaun pelaburannya itu dengan pelbagai alasan diberikan termasuk akaunnya dibekukan,” katanya hari ini.
Katanya, mangsa sekali lagi dihubungi oleh ‘Lucas’ pada 3 Mac lalu dan diarahkan membuat transaksi sebanyak USDT 35,146,60 kononnya untuk tujuan pengesanan semakan sumber pendapatan.
“Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu tampil membuat laporan di Ibu [ejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 4.16 petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN