Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah RM16,000 - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah RM16,000

AZDEE Muaz Md Adnan didakwa menerima suapan bagi membantu mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam Program RTK 2.0 dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM16,000 bagi membantu mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) dua tahun lalu.

Tertuduh, Azdee Muaz Md Adnan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada tiga anak yang merupakan penjawat awam iaitu pegawai Imigresen gred KP22 telah secara rasuah meminta dan menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,800 dan RM5,200 daripada dua wanita dari sebuah syarikat.

Tindakan itu sebagai dorongan dan bayaran untuk tertuduh mengangkat fail permohonan dalam mempercepatkan proses mendapatkan kuota melalui program RTK 2.0 bagi sebuah syarikat seramai 54 dan 52 orang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Kamunting dalam daerah Kamunting pada 25 Julai 2023 dan sebuah restoran di Kinta City Shopping Centre, Ipoh Garden dalam daerah Kinta antara pukul 1 hingga 2 petang, 3 Ogos 2023.

Kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan

Pada prosiding itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua pilihan apabila melakukan kesalahan bagi tujuan sama melibatkan wang berjumlah RM5,200 di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Perdakwaan bagi pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrul Azuan Ghazali mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Ipoh dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam tertuduh, Md. Yusuf Idris memohon jumlah jaminan RM10,000 dibenarkan ke atas anak guamnya atas alasan lelaki yang berpendapatan bulanan sebanyak RM3,564 itu merupakan penanggung tunggal keluarga selain menyara ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Ipoh pada Jumaat pertama setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya